Sekolah Rendah Agama Seksyen 19 tertubuh
hasil daripada kehendak dan permintaan penduduk-penduduk Shah Alam
Selatan. Tanggal 8 Februari 1991 adalah merupakan titik tolak kepada
penubuhan sekolah ini. Pada tarikh tersebut, satu perjumpaan dan
perbincangan di antara wakil penduduk daripada Seksyen 16 hingga
Seksyen 25, Taman Seri Muda dan Taman Alam Megah dengan wakil Jabatan
Agama Islam Selangor (JAIS) dan wakil rakyat kawasan Batu tiga Shah
Alam YB Mohd. Zin bin Sulaiman (Allahyarham) telah diadakan.
Di dalam perjumpaan dan perbincangan
tersebut, wakil-wakil yang mewakili seksyen dan taman masing-masing
telah mengemukakan pendapat dan cadangan mereka agar diwujudkan sebuah
sekolah rendah agama di kawasan berdekatan bagi memberi peluang anak-anak
penduduk di seksyen dan taman berdekatan mendapat pendidikan agama
yang sempurna dan terancang. Sebelum ini para penduduk di seksyen
dan taman tersebut terpaksa menghantar anak-anak mereka ke Sekolah
Rendah Agama di Seksyen 3 dan Seksyen 11. Namun, tidak kesemua mereka
mendapat peluang tersebut kerana kuota murid yang terhad dan jarak
perjalanan yang jauh. Perjumpaan tersebut telah melantik satu Jawatankuasa
Penaja Penubuhan Sekolah Rendah Agama Seksyen 19.
Hasil daripada perjumpaan dan perbincangan
tersebut, satu keputusan telah dicapai, iaitu mereka bersetuju untuk
mengemukakan satu memorandum kepada pihak berkuasa terutama Kerajaan
Negeri Selangor untuk menyegerakan peruntukan bagi membina sekolah
di kawasan tersebut.
Jawatankuasa penubuhan tersebut telah
berusaha keras bagi menjayakan kehendak penduduk di Shah Alam Selatan.
Mereka telah bekerjasama dengan JAIS bagi mengenalpasti tapak sekolah
yang akan dibina. Akhirnya sebidang tanah seluas 409,459 kaki persegi
telah dikenalpasti di Jalan Gelora 19/46. Pembinaan sekolah tersebut
telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor melalui
Perbadanan Kerajaan Negeri Selangor (PKNS) dan Pejabat Tanah Daerah
Petaling. Anggaran awal kos pembinaan sekolah ini adalah sejumlah
RM 2,186,164.06. Akhirnya bangunan sekolah ini dibina dengan kos
RM 1.5 juta dan siap sepenuhnya pada penghujung tahun 1994.
Sekolah Rendah Agama Seksyen 19 dibuka
pada November 1994 sebelum sesi persekolahan bermula pada 1 Disember
1994. Pada awal penubuhannya, sekolah ini terdiri daripada 2 blok
bangunan 2 tingkat dan sebuah kantin. Segala bentuk persiapan dan
urusan pendaftaran telah dibuat pada penghujung tahun 1994. Ustaz
Abdul Nasir bin Hashim sebagai Guru Besar pertama sekolah tersebut
dan Ustaz Mohd. Khalimi bin Mohd. Torai sebagai Guru Penolong Kanannya.
Sebahagian besar daripada guru-guru dan murid adalah agihan daripada
Sekolah Rendah Agama Seksyen 3 Shah Alam.
Bilangan guru pada ketika itu adalah
56 orang dan 2193 orang murid serta 61 buah kelas (31 sesi pagi dan
30 sesi petang). Oleh kerana Bahagian Pendidikan JAIS tidak dapat
menghantar guru dengan secukupnya selama beberapa bulan, maka pengurusan
sekolah terpaksa mencari guru tambahan dan membayar elaun tidak kurang
RM 16,000 sebulan.
Pada tahun 2000, sekolah ini telah
terpilih sebagai salah sebuah daripada Sekolah Rendah Agama Integrasi
iaitu sekolah yang menggabungkan antara kurikulum agama dengan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) di dalam sebuah sekolah sahaja. Jumlah
guru dan kakitangan yang berkhidmat di sini sekarang adalah seramai
115 orang dan jumlah pelajarnya seramai 2540 orang.
Di bawah pengurusan
dan pentadbiran Guru besar yang baru, iaitu Ustaz Mohamed Misman
bin Juraimi, Sekolah
Rendah Agama Integrasi Seksyen 19 akan terus berusaha untuk maju
ke hadapan seiring dengan peredaran masa dan akan terus mendukung
matlamat asal penubuhannya untuk menyampaikan ilmu agama Allah kepada
semua golongan masyarakat.
|